PARIS – Penjaga gol Paris Saint-Germain, Gianluigi Donnarumma tidak menolak kemungkinan bakal meninggalkan pemenang saingan Liga Juara-Juara musim ini sekiranya mendapat tawaran lebih baik.
Penjaga gawang dari Itali itu memainkan peranan penting membantu gergasi Ligue 1 Perancis itu mara ke pentas final di Munich dan menewaskan Inter Milan untuk merangkul gelaran berprestij Eropah berkenaan.
“Sama ada menandatangani tawaran baharu atau berhijrah ke pasukan baharu, saya tidak pasti. Kita akan tengok nanti. Sekarang adalah masa untuk menikmati kejayaan, saya akan pergi bercuti dan kemudian kita akan lihat perkembangannya,” kata Donnarumma ketika meraikan kejayaan PSG.
Sepanjang empat musim bersama PSG, Donnarumma sudah merangkul 10 trofi, namun masa depannya bersama kelab itu belum dapat disahkan ketika kontrak semasanya bakal berakhir pada Jun 2026.
Perkembangan itu menyaksikan gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester City dilapor sedia mengemukakan tawaran apabila kelibat Donnarumma menjadi kegemaran pengurusnya, Pep Guardiola kerana kemampuannya menjaga gawang serta kelebihannya menggunakan kaki.
Rundingan kontrak baharu bakal menjadi penentu masa depan Donnarumma kerana sekiranya dia tidak bersetuju, kelab itu mungkin terpaksa melepaskannya untuk mengelak perpindahan secara percuma. – AGENSI