PONTIAN – Kongres Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan supaya skim perkhidmatan Angkatan Tentera (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal dalam Lantikan Tetap Berpencen (LTP).
Presiden Cuepacs, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, kedua-dua skim perkhidmatan tersebut merupakan perkhidmatan yang penting bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman negara sepanjang masa.
Katanya, cadangan Lantikan Tetap Bercarum (LTB) di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dicadangkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak sesuai bagi kedua-dua perkhidmatan tersebut.
Menurut beliau, Cuepacs bersetuju dengan cadangan LTB bagi menggantikan LTP sebagaimana keputusan Jawatankuasa Kabinet pada bulan Jun 2023 bahawa skim LTP tidak dapat diteruskan berdasarkan kepada kedudukan kewangan fizikal negara.
“Berikutan itu Cuepacs tiada pilihan dan turut sama-sama membincangkan bagi tujuan pelaksanaan dasar baru bagi LTB dimana dijangka akan diperkenalkan pada bulan Disember akan datang.
“Pada masa yang kami telah mengadakan perbincangan pusingan pertama dengan JPA yang mana kami menekankan prinsip Tidak Kurang Faedah (TKF) sekiranya skim pencen hendak dimansuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tri Tahunan Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Barat, di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE