KAJANG – Kegagalan sistem brek berfungsi dipercayai menjadi punca sebuah bas terbabas sebelum terbalik di Jalan P/4, Kawasan Perindustrian Bangi, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.45 pagi ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Putra Kajang menuju ke Kawasan Perindustrian Bangi.
“Siasatan awal mendapati bas yang dipandu lelaki tempatan berusia 34 tahun itu membawa 46 penumpang, kesemuanya merupakan warga Nepal berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun dan bekerja di sebuah kilang di Bandar Baru Bangi.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu dikatakan mahu memberhentikan kenderaan untuk menurunkan penumpang, namun mendapati brek tidak berfungsi sebelum hilang kawalan dan terbabas di selekoh lalu terbalik di persimpangan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seorang penumpang mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di Hospital Serdang, manakala penumpang lain yang cedera ringan telah menerima rawatan di Hospital Serdang, Hospital Kajang dan Klinik Kesihatan Bangi.
Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seramai 44 orang penumpang sebuah bas kilang yang dinaiki pekerja asing berdepan detik cemas apabila kenderaan yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Seksyen 13, Bandar Baru Bangi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.59 pagi tiba enam minit kemudian bagi membantu mangsa terlibat kemalangan tersebut. – KOSMO! ONLINE