PETALING JAYA – Kisah rumah tangga yang didedahkan pasangan yang bernikah kepada umum hampir setiap hari membuatkan segelintir individu bujang semakin bimbang untuk mendirikan rumah tangga.
Kebimbangan itu didedahkan seorang individu bujang berusia 30 tahun di media sosial.
Katanya, dia semakin ‘bersemangat’ untuk hidup membujang selepas membaca banyak luahan rumah tangga daripada rakan-rakannya yang sudah berkahwin.
“Kawan-kawan ramai yang sudah berkahwin, tetapi apabila dengar mereka bercerita tentang rumah tangga, makin ‘bersemangat’ aku membujang.
“Banyak betul masalah rumah tangga, ada yang curang. Umur sudah 30 (tahun), rasa lagi seronok membujang. Tak apa kalau itu tertulis takdirnya,” katanya.
Luahan itu mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai yang turut mendedahkan mengalami perasaan serupa, namun ada juga yang berpandangan sebaliknya.
“Aku pun macam tu, umur 32 (tahun) sekarang. Setia macam tak ada dah. Disebabkan aku setia dan aku rasa tak ada orang setia, elok aku kekal bujang,” kata seorang pengguna.
“Bujang saja, tak ada siapa halang. Lagi senang tidak serabut kepala otak, tidak banyak komitmen,” kata @Alissa Alias.
“Dalam perkahwinan, jangan mengharapkan berlebihan. Bersederhana. Doa banyak-banyak minta Allah mudahkan dan jangan fikir bukan-bukan,” pesan individu lain. – KOSMO! ONLINE