JAKARTA – Seramai 400 jemaah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di luar Masjid Baitul Muqaddis, Gowa, wilayah Sulawesi Selatan pagi tadi, lapor portal berita CNN Indonesia.
Solat itu diimamkan oleh pimpinan pengikut An-Nadzir, Samiruddin Pademmui yang turut menjadi khatib.
Penduduk di sana menyambut hari raya korban sehari lebih awal daripada tarikh yang diisytiharkan oleh pemerintah Indonesia.
Menurut Samiruddin, penentuan tarikh 10 Zulhijah dilakukan melalui kaedah melihat anak bulan pada 27 Mei lalu.
Jemaah An-Nadzir itu juga menyembelih dua ekor lembu dan dua ekor kambing.
Pengikut aliran An-Nadzir itu dibawa oleh seorang ulama dikenali sebagai Syamsuri Abdul Majid yang bergelar Sheikh Imam Muhammad Al-Mahdi Abdullah, lapor portal berita DetikSulsel.
Pada tahun 1998, Samiruddin bersama rakan-rakannya menyebarkan aliran tersebut di Sulawesi Selatan. – AGENSI