MEKAH – Pihak berkuasa Arab Saudi mengaktifkan sistem penyejukan terbesar di dunia dengan kapasiti keseluruhan 155,000 tan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bagi musim haji 2025, lapor laman berita TRT Global semalam.
Pengaktifan sistem itu dilakukan untuk memberi keselesaan kepada lebih sejuta jemaah yang menunaikan ibadah haji tahun ini ketika suhu dijangka melebihi 40 darjah Celsius.
Masjidil Haram disokong oleh dua stesen penyejuk utama iaitu Stesen Al-Shamiya dengan kapasiti 120,000 tan serta 35,000 tan bagi Stesen Ajyad.
Kedua-dua stesen itu meliputi keseluruhan kompleks, termasuk semua ruang besar dan beberapa bahagian tertua masjid bagi mengekalkan suhu sederhana di antara 22 hingga 24 darjah Celsius.
Sistem tersebut menggunakan teknologi penulenan udara canggih yang mampu menyingkirkan 95 peratus kekotoran untuk memastikan persekitaran bersih dan selamat buat jemaah, khususnya dalam menghadapi cuaca panas ekstrem.
Pihak berkuasa akan menjalankan kerja penyelenggaraan secara berterusan termasuk penukaran alat gantian, jaminan keselamatan di lokasi kerja serta pengurusan sumber yang cekap bagi memenuhi keperluan sepanjang musim haji.
Pada musim haji tahun lalu, pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan seramai 1,300 jemaah meninggal dunia ketika suhu mencecah 50 darjah Celsius. – AGENSI