MEKAH – Seramai 80 jemaah haji Malaysia yang kurang berkemampuan akibat sakit dan uzur akan dibawa untuk melakukan ibadah wukuf di Arafah menerusi program Safari Wukuf esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kerajaan dan Tabung Haji (TH) sentiasa prihatin dengan kebajikan, keselamatan dan keselesaan semua jemaah haji negara.
Menurut beliau, sebanyak 1.8 juta orang dari seluruh dunia akan memulakan pergerakan ke Padang Arafah hari ini dan pergerakan jemaah haji Malaysia bermula dengan pergerakan bas pertama pada pukul 7.31 pagi waktu tempatan mengikut jadual ditetapkan pihak Al Masiah (Masyarik) dan TH.
“Selain itu, seramai 80 jemaah haji sakit dan uzur akan dibawa melakukan ibadah wukuf di Padang Arafah menerusi program Safari Wukuf bermula esok.
“Sebanyak lapan buah bas khas yang telah diubah suai tempat duduknya menjadi seperti katil akan digunakan untuk membawa jemaah haji uzur tersebut ke Padang Arafah,” katanya di sini hari ini.
Beliau ditemui pada majlis pelepasan jemaah haji Malaysia ke Arafah dari Abraj Al Tayseer dengan bas pertama mula bertolak pada pukul 7.31 pagi tadi waktu tempatan.
Beliau berkata, jemaah akan bergerak secara berperingkat mengikut maktab masing-masing, bagi memastikan perjalanan yang teratur dan selesa.
“Keberangkatan ini terbahagi kepada tiga pusingan yang melibatkan sebanyak 20 hingga 31 buah bas untuk setiap maktab mengikut KT serta bergantung kepada jumlah jemaah di setiap maktab.
“Pergerakan adalah secara Taraduddiah atau shuttle bas dengan jarak perjalanan sejauh 20 kilometer dari Mekah ke Arafah yang mengambil masa di antara 45 hingga 60 minit,” ujar beliau.
Katanya, pihak TH dan Masyarik menjangkakan keseluruhan operasi membawa jemaah ke Arafah mengambil antara enam ke lapan jam.
Jelas beliau, seramai 195 petugas kebajikan dan perubatan telah digerakkan ke Arafah malam semalam bagi membuat persediaan terakhir menyambut ketibaan jemaah haji di bumi Arafah.
Tambahnya, seramai 385 Sahabat Maktab (sukarelawan) dalam kalangan jemaah haji daripada 11 maktab akan membantu kelancaran operasi Masyair tahun ini. – KOSMO! ONLINE