GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan lebih ramai anak gadis di Selangor terjebak dengan budaya menghisap rokok elektronik atau vape terutama yang mengandungi racun dan dadah.
Pegawai Pendidikannya, N.V. Subbarow berkata, menerusi program ceramah pihaknya di sekolah-sekolah di Selangor, baru-baru ini telah membuktikan bahawa semakin ramai pelajar ketagih kepada vape yang merangkumi nikotin dan juga dadah berbahaya.
“Banyak rungutan daripada guru-guru bahawa sikap kanak-kanak berubah kerana tabiat menghisap vape. Tabiat ini amat buruk kerana ia menyebabkan ketagihan yang bermula dari awal hingga ke usia remaja dan dewasa.
“Berita yang paling mengejutkan ialah lebih ramai gadis meminati budaya vape,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, meskipun kerajaan negeri bimbang dengan nasib pengeluar vape dan pekerjanya tetapi kesihatan generasi akan datang perlulah diutamakan.
Tambahnya, CAP menggesa campur tangan pihak bertanggungjawab bagi membantu mencegah kanak-kanak daripada terjebak dengan gejala bahaya vape yang mengandungi racun dan dadah.
“Ia mestilah dilakukan dengan secepat mungkin sebelum vape memusnahkan kehidupan kanak-kanak yang merupakan generasi masa depan. Kita tidak mahu anak-anak kita menjadi penagih dadah dan melalui masa depan yang gelap,” katanya. – KOSMO! ONLINE