fbpx

Kedai jam 60 tahun akhirnya tutup di Kota Bharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi Kedai jam Swee Hing untuk membeli jam tangan dengan tawaran diskaun di Jalan Buloh Kubur, Kota Bharu hari ini. 

KOTA BHARU – Legasi tiga ge­nerasi sebuah kedai jam di Jalan Buloh Kubu di sini akan berakhir apabila ditutup selepas hampir 60 tahun beroperasi.

Kedai Jam Swee Hing yang kini diusahakan oleh Mah Weng Kiong, 82, dan anaknya, KC Mah, 45, terpaksa ditutup buat selamanya apabila tiada lagi ahli keluarga mereka yang mahu meneruskan legasi perniagaan syarikat itu.

KC berkata, dia yang merupakan generasi ketiga kedai jam tersebut mengambil alih perniagaan itu buat sementara waktu sebelum premis tersebut ditutup sepenuhnya pada hujung bulan ini.

“Tiada ahli keluarga kami yang dapat beri komitmen untuk me­nguruskan perniagaan yang diwarisi oleh bapa.

“Adik-beradik saya sudah ada perniagaan dan pekerjaan sendiri. Jadi, tiada sesiapa yang dapat mewarisi perniagaan itu sehingga bapa mengambil keputusan untuk menutupnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kedai Jam Swee Hing di Jalan Buloh Kubu di sini hari ini.

KC berkata, meskipun sedih, bapanya tetap berlapang dada dengan keputusan itu kerana dia sudah membuktikan perniagaan yang diwarisi daripada mendiang datuk itu berjaya.

Menurutnya, sehubungan itu, bapanya membuat jualan lelong sempena penutupan kedai yang menawarkan potongan harga bermula 40 hingga 50 peratus untuk sebuah jam.

“Jualan yang bermula hujung Mac lalu melibatkan lebih 20 jenama jam yang ada di dalam premis kami.

“Jam tangan paling mahal di dalam kedai ini adalah seutas jam jenama Tissot berusia hampir 50 tahun yang dijual pada harga RM2,000. Bagi jam meja pula, jam berjenama Moulin Rouge yang berusia 20 tahun dilelong pada harga RM4,000,” ujarnya.

KC berkata, semua jenis jam termasuk untuk kanak-kanak dan dewasa yang dijual itu akan diperiksa terlebih dahulu agar tiada sebarang kerosakan sebelum diserahkan kepada pelanggan.

Jelasnya, dia dan bapanya mahu semua pelanggan berpuas hati dengan jam tersebut dan bukan semata-mata untuk menghabiskan stok jam yang ada sebelum kedai ditutup.

Sementara itu, seorang pe­langgan, Sabri Mohamad, 52, berkata, dia membeli tiga utas jam tangan pelbagai jenama untuk keluarganya.

Katanya, dia mengetahui kedai jam itu membuat potongan harga selepas melihat video mengenai penutupan premis tersebut yang tular di media sosial.

“Saya membeli tiga utas jam tangan termasuk jenama Alba. Saya lihat ramai yang datang membeli jam tangan pilihan mereka. Ada yang membeli lebih daripada dua utas jam tangan setiap seorang kerana harganya yang murah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI