SUBANG JAYA – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melaksanakan operasi penguatkuasaan ke atas individu warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran.
Menurut MBSJ, operasi tersebut dijalankan di beberapa lokasi tumpuan membabitkan Persiaran Puteri 1 dan Jalan Puteri 2, Bandar Puteri, Puchong.
“Hasil daripada operasi tersebut, sebanyak tiga buah basikal roda tiga disita serta amaran secara lisan turut diberikan kepada individu (penjaja) yang terlibat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
MBSJ berkata, operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan peraturan dan garis panduan perniagaan dipatuhi, khususnya oleh warga asing.
Katanya, pemantauan berkala akan terus dijalankan dari semasa ke semasa, dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak atau individu yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan mengenai pelanggaran peraturan boleh menghubungi pihak MBSJ melalui pautan rasmi bagi membantu meneruskan tindakan dan pemantauan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE