JAKARTA – Seorang pemilik ladang ternakan di wilayah Jawa Timur mengundang perhatian ramai apabila menjual lembu dan kambing korban secara siaran langsung di platform TikTok, lapor portal berita Detik hari ini.
Pemilik This is Farm Kota Malang, Lucky Aditya berkata, jualan haiwan korban secara ‘live’ meningkat dengan ketara dalam tempoh dua minggu menjelang Hari Raya Aidiladha.
“Kira-kira 85 peratus pembelian haiwan korban adalah menerusi TikTok.
“Kebanyakan pelanggan yang membeli lembu dan kambing saya adalah penduduk Malang Raya dan Sidoarjo,” kata Lucky.
Selain berinteraksi dan menjawab setiap pertanyaan, mereka juga boleh menunjukkan keadaan sebenar haiwan kepada pelanggan.
“Kami akan bersiaran langsung bermula waktu pagi sehingga petang sebelum Maghrib,” tambah Lucky. – AGENSI