PETALING JAYA – Sebuah kereta jenis Perodua Bezza berpusing beberapa kali selepas merempuh kereta jenis Toyota Vios dari belakang di Lebuh Raya Utara – Selatan dari arah Sungkai menuju ke Bidor.
Menerusi satu hantaran di Facebook, milik Hadi Hamdan, kereta Perodua Bezza tersebut dilihat dengan tiba-tiba memasuki lorong yang berlainan, sekali gus melanggar bahagian belakang kereta Toyota Vios terbabit.
Dalam video tersebut, kereta yang telah mengakibatkan kemalangan itu turut sempat berpusing beberapa kali selepas pelanggaran berlaku menyebabkan beberapa komponen daripada kedua-dua buah kereta yang terlibat tercabut.
Meninjau ke ruangan komen, ramai netizen memberi pelbagai reaksi serta ada juga yang memberi pendapat tentang punca kemalangan tersebut boleh berlaku.
“Kalau bukan ‘microsleep’, mesti main ‘handphone’,” ujar @Shafeez Jamaludin.
“Jangan penting diri. Kalau sakit atau mengantuk contohnya jangan pandu, jangan teruskan perjalanan. Kita ni manusia bukan robot. Ada limitnya,” kata pengguna lain.
“Pandu berhemah pun tak selamat,” komen @Farish Akmal. – KOSMO! ONLINE