fbpx
Gambar hiasan

Siapa sebenarnya perlu pakai tong gas ‘purple’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK beberapa hari lalu tular di media sosial bahawa kerajaan melalui pihak Petronas akan memperkenalkan tong gas silinder LPG 14 kilogram berwarna ungu yang direka khas untuk kegunaan komersial dan industri di negara ini.

Tong gas ini membantu membezakan tong gas komersial daripada tong gas bersubsidi yang biasanya digunakan pengguna domestik.

Antara pihak yang perlu menggunakan tong gas ungu ini termasuklah peniaga makanan seperti restoran, kedai makan, gerai, dan katering.

Turut terlibat, industri kecil dan sederhana (IKS) seperti kilang makanan, dobi, bengkel, hotel kantin serta perniagaan yang memerlukan bekalan gas berterusan.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, harga tong gas ungu ini adalah sekitar RM65 hingga RM70 bagi silinder 14 kilogram (kg) berbanding RM26.60 hingga RM30.

Perbezaan kenaikan harga itu hampir mencecah 160 peratus, namun ramai yang salah anggap berkenaan isu ini kerana ada segelintir mendakwa perniagaan kecil seperti gerai tepi jalan juga turut terlibat.

Memetik perkongsian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, premis makanan kecil atau rumah makan yang menggunakan kurang daripada tiga tong 14kg pada satu-satu masa tidak tertakluk kepada syarat permit iaitu perlu menggunakan tong gas ungu.

“Yang terkesan ialah restoran berskala besar, hotel dan dapur industri yang menggunakan lebih 42kg.

“Tujuan kita bukan untuk menghukum tapi untuk mengawal penyalahgunaan subsidi agar dana awam digunakan secara adil dan saksama,” katanya.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, kerajaan tidak pernah membuat keputusan baharu untuk memansuhkan subsidi LPG, malah subsidi itu masih kekal dan diberikan untuk keperluan domestik rakyat.

Menurutnya, isu berkenaan timbul kerana sesetengah pihak gagal memahami dasar yang telah lama berkuat kuasa dan ada sesetengah pihak sengaja mengelirukan rakyat dengan menimbulkan naratif bahawa kerajaan menarik subsidi.

“Apa yang sedang berlaku ialah pelaksanaan Op Gasak yang bermula 1 Mei hingga 31 Oktober 2025. Op Gasak memfokuskan dua perkara.

“Pertama, mengekang penggunaan tong LPG bersubsidi oleh sektor industri dan komersial, khususnya restoran dan premis perniagaan berskala besar.

“Kedua, membanteras aktiviti decanting iaitu pemindahan haram gas dari tong subsidi ke tong tidak bersubsidi,”jelasnya.

Justeru, nasihat penulis kepada peniaga tepi jalan atau yang menggunakan gas tidak melebihi tiga tong dalam satu-satu masa, mereka tidak perlu risau kerana tidak diwajibkan menggunakan tong gas ungu.

Cuma, ingat janganlah ambil kesempatan menaikkan harga pula kononnya harga gas naik, jadilah seorang peniaga yang jujur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN