KOTA BHARU – Pengorbanan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun menempuh perjalanan sejauh lebih 500 kilometer untuk bertemu kekasih dengan menunggang motosikal kapcai bersama rakannya dari Tumpat ke Kulim, Kedah menjadi sejarah hitam di dalam hidup apabila dia dirogol lelaki tersebut.
Dalam kejadian pada Mac lalu, remaja itu diperkosa teman lelakinya yang berusia dalam lingkungan 30-an semasa mereka bertemu buat pertama kali selepas beberapa bulan berkenalan di media sosial.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ibu bapa remaja itu pada awalnya membuat laporan polis berkenaan orang hilang selepas mangsa tidak pulang ke rumah selama empat hari.
Menurutnya, perbuatan itu terbongkar apabila mangsa mengaku bertemu dan dirogol kekasihnya semasa pertemuan kali pertama di Kulim.
“Remaja itu membuat pengakuan selepas didesak oleh ibu bapanya. Pemeriksaan di hospital mendapati ada kesan koyakan pada kemaluan mangsa.
“Siasatan lanjut mendapati, mangsa mengenali suspek beberapa bulan lalu di media sosial sebelum mereka mula berhubung melalui WhatsApp,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Townhall Ketua Polis Kelantan, Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, mangsa kemudian mengajak seorang rakan sebaya untuk menemaninya ke Kulim bagi bertemu dengan lelaki itu.
Menurutnya, motosikal mangsa juga mengalami kerosakan semasa di Gerik, Perak sehingga mereka berdua terpaksa menumpang kenderaan awam untuk meneruskan perjalanan ke Kulim.
“Siasatan mendapati, mangsa dirogol suspek di sebuah kawasan di Kulim. Dalam tempoh empat hari itu, mangsa kemudian pulang semula ke Tumpat.
“Suspek ditahan di Kulim selepas laporan polis dibuat oleh ibu bapa mangsa,” ujarnya.
Mohd. Yusoff berkata, sehubungan itu, ibu bapa perlu sentiasa peka dengan pergerakan anak-anak selain memantau penggunaan media sosial dalam kalangan remaja. – KOSMO! ONLINE