PETALING JAYA– Walaupun cuaca panas dan sesak dengan orang ramai, Pulau Redang tetap menjadi pilihan utama pengunjung untuk bercuti sempena cuti persekolahan.
Menerusi satu perkongsian di TikTok milik @Muhdd_haris, suasana di kawasan pantai di pulau berkenaan dipenuhi orang ramai yang sedang menunggu giliran menaiki bot dan ada juga yang mandi-manda bersama keluarga.
“Kemas kini keadaan Pulau Redang 2/6/2025,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Dalam hantaran lain yang dibuat oleh @Imanredang, turut memaparkan situasi sama di mana orang ramai dilihat seronok bermain bola pantai dan bersantai di sekitar kawasan peranginan tersebut.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna berkongsi pengalaman masing-masing ketika berada di pulau berkenaan.
“Wow macam ada kenduri, punya meriah,” kata Naz.
“Saya pun pergi tadi. Memang ramai orang hari ini… tapi meriah,” komen Wanie.
“Cuti sekolah memang ramai. Kalau hari biasa tak seramai ni,” tambah Minaaa.
Sementara itu, ada juga yang meluahkan rasa rindu dan keterujaan selepas berkunjung ke pulau tersebut.
“Tadi pagi baru pergi (Pulau Redang)… Ya Allah seronok sangat-sangat. Nak nangis masa singgah ‘checkpoint’ tempat penyu, ikan-ikan, tengok batu karang. Tak pernah tengok depan-depan macam tu, selam sendiri,” luah Norlaila.
“Baru pergi kelmarin hari tu… masih tak boleh ‘move on’ lagi. Nak ‘repeat’ lagi dan lagi,” kongsi Ery. – KOSMO! ONLINE