NAMA penyerang kelahiran Sepanyol, Jefte Betancor semakin hangat diperkatakan bakal menjadi pemain warisan terbaharu yang akan memperkuatkan Harimau Malaya pada kempen kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
Sekeping gambar yang dimuat naik penyerang kelab Olympiacos di Greece itu menerusi IGStory menunjukkannya memegang passport Malaysia beserta tiket, sedang tular dan menjadi buah mulut peminat setia skuad kebangsaan.
Berdasarkan data yang dikongsikan Transfermarkt, Betancor memiliki rekod agak baik apabila berjaya meledak 21 gol dan dua bantuan jaringan dalam 33 penampilan dengan Panserraikos pada musim 2024/25 sebagai pemain pinjaman.
Ia menimbulkan keterujaan bagi peminat bola sepak negara yang turut mengharapkan kehadiran seorang lagi pemain warisan, Rodrigo Holgado selepas bintang América de Cali itu turut memuat naik gambar sedang berada dalam penerbangan.
Selepas kecemerlangan Hector Hevel pada debutnya ketika menentang Nepal, Mac lalu, berita ini pastinya menambahkan lagi keyakinan peminat untuk menyaksikan peningkatan kualiti semasa Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski.
Selepas cemerlang mengikat pasukan di ranking ke-72 dunia, Cape Verde pada aksi persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Khamis lalu, hari ini Harimau Malaya akan mengharungi satu lagi aksi pemanas badan menentang lawan sama secara tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi dibuat berhubung pemain warisan baharu dan dijangka akan dilakukan selepas aksi kedua menentang Cape Verde.