PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 14 Ogos bagi pendengaran notis usul dan rayuan akhir yang dikemukakan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali, berhubung sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadapnya sebelum ini.
Tarikh pendengaran itu dimaklumkan peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah yang mewakili Siti Bainun pada prosiding pengurusan kes di Mahkamah Rayuan hari ini.
“Pada tarikh berkenaan, mahkamah akan mendengar permohonan notis usul terlebih dahulu dan sekiranya ia dibenarkan atau tidak, rayuan terhadap sabitan dan hukuman akan didengar selepas itu,” kata peguam itu ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu peguam itu memaklumkan, pendakwaan selaku responden telah memfailkan afidavit jawapan terhadap notis usul yang difailkan pihaknya selaku perayu pada 30 Mei lalu.
Sebelum ini pihak pembelaan Siti Bainun memaklumkan telah mengemukakan, notis usul bagi memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir anak guamnya.
Afidavit baharu itu adalah satu laporan polis yang dibuat ibu kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matin iaitu Ismanira Abdul Manaf pada 25 Julai 2024.
Katanya, selain notis usul berhubung Ismanira, pihaknya juga turut memasukkan afidavit mengenai salah seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes Siti Bainun sebelum ini.
“Pihak perayu (Siti Bainun) mengemukakan permohonan bukti baharu memohon supaya dibenarkan memanggil Ismanira untuk memberi keterangan lanjut berhubung laporan polis yang dibuat serta kebenaran memanggil semula saksi pendakwaan kelima untuk ‘further cross’ (pemeriksaan lanjutan),” katanya.
Pada prosiding lalu, panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersidang bersama dua lagi hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Dr. Choo Kah Sing yang mendengar rayuan berkenaan.
Siti Bainun, 33, memfailkan rayuan akhir bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun lalu.
Pada 2 Mei tahun lalu, Siti Bainun kekal atas sabitan dan hukuman penjara 12 tahun itu oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar rayuan berhubung sabitan yang diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum itu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.
Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Sebelum itu, pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur turut menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Bainun didapati bersalah atas dua pertuduhan tersebut. – KOSMO! ONLINE