JAKARTA – Seorang lelaki di Banyuwangi, wilayah Jawa Timur maut ditikam hanya kerana meninggalkan komen menghina semasa penstriman langsung (live) di platform TikTok, lapor portal berita Detik semalam.
Suspek bernama Kuncoro Dedi S, 22, menikam mangsa dikenali sebagai Wiryadianto, 20, sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan) di daerah Cluring pada 31 Mei lalu.
Siasatan awal mendapati mangsa meninggalkan komen jelek semasa siaran langsung TikTok milik teman wanita suspek dikenali sebagai SW.
Kuncoro kemudian meminta Wiryadianto datang ke rumah kekasihnya untuk mendapatkan penjelasan.
Pertemuan itu bertukar tragedi apabila suspek tiba-tiba menendang lalu menikam dada mangsa.
“Dia cuba menyelamatkan diri dengan berlari ke tepi jalan. Kami menemui kesan luka dalam pada dada kiri mangsa.
“Polis masih giat menjalankan siasatan sama ada terdapat niat membunuh atau disebabkan pengaruh bawah alkohol,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polisi Banyuwangi, Komisioner Komang Yogi Arya Wiguna. – AGENSI