TAPAH – Penerapan kemahiran Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada prospek (bekas banduan) semasa sedang menjalani hukuman membolehkan mereka lebih berkeyakinan kembali bergelumang dengan masyarakat selain ditawarkan peluang pekerjaan dengan pendapatan lebih baik.
Timbalan Pengarah Penjara Negeri Perak, Penolong Kanan Komisioner Penjara Nazri Mohamad berkata, peluang TVET yang dibekalkan oleh instisusi itu justeru memberi peluang kemahiran kepada banduan dengan pengiktirafan sijil kemahiran oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Katanya, sijil kenahiran itu ibarat ‘tiket’ untuk syarikat-syarikat menerima mereka dengan tawaran profesion dan gaji lebih baik.
“Selalunya mereka (ditawarkan) gaji minimum RM1,700 tetapi dengan kemahiran TVET ada (prospek) yang ditawarkan pendapatan RM3,700 iaitu sebuah syarikat di Ipoh yang menjalankan perusahaan jentera berat.
“Ada satu prospek kita yang berkecimpung dan bertugas sehingga hari ini. Sudah lebih setahun,” katanya kepada pemberita di Penjara Tapah, Tapah Road di sini hari ini.
Terdahulu, Jabatan Penjara Negeri Perak membebaskan 23 prospek (bekas banduan) pada Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Di Nanti) sempena Hari Raya Aidiladha 2025.
Jumlah itu merangkumi 22 daripada Penjara Tapah dan seorang prospek dari Pusat Koreksional Batu Gajah.
Purata umur mereka 23 hingga lebih 60 tahun. PBSL melibatkan prospek dikembalikan kepada keluarga, dipadankan dengan majikan terpilih dan Rumah Perantaraan (RP).
Katanya, kadar prospek kembali berulang melakukan kesalahan lama selepas bebas amat kecil iaitu kurang satu peratus. – KOSMO! ONLINE