SANTOS – Bintang sensasi Santos, Neymar terus bernasib malang apabila kali ini dilayangkan kad merah dalam penampilan pertamanya selepas sebulan tersisih disebabkan masalah kecederaan.
Pemain berpengaruh berusia 33 tahun itu diarahkan meninggalkan padang selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-75 selepas didapati cuba menjaringkan gol menggunakan tangan ketika menentang Botafogo hari ini.
Bekas penyerang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu sudah mengutip kad kuning pertama di babak pertama disebabkan kekasaran ke atas pemain Botafogo.
Lima minit selepas Neymar dibuang padang, Botafogo berjaya meledak gol kemenangan menerusi Arthur sekali gus menghadiahkan kekalahan 0-1 buat Santos dalam saingan Serie A Brazil di Estadio Urbano Caldeira itu.
Lebih malang, kekalahan itu menyaksikan gergasi Brazil tersebut terus kekal dalam zon penyingkiran liga sebagai tiga pasukan tercorot ketika ini.
Ini menyaksikan Santos sekali lagi gagal untuk menggunakan khidmat Neymar yang sebelum ini sudah diketepikan selama tujuh perlawanan disebabkan kecederaan dan masih belum meledak gol atau mencipta bantuan jaringan.
Situasi semasa pastinya menyukarkan peluang Neymar untuk memikat hati Carlo Ancelotti yang dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Brazil baru-baru ini.
Sebagai rekod, Neymar bakal tamat kontrak dengan Santos pada 30 Jun ini dan buat masa ini masih tiada rundingan untuk melanjutkan perjanjiannya. – AGENSI