PETALING JAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin meluahkan kebimbangan berhubung kewujudan kolam terbiar berhampiran kawasan perumahan Flora Rosa, Presint 11 yang kini mengundang risiko kepada keselamatan kanak-kanak.
Menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, beliau memaklumkan bahawa seorang pengadu telah berkongsi rakaman video yang memaparkan sekumpulan kanak-kanak sedang mandi di kolam tersebut.
Dalam hantaran tersebut, beliau juga berkata isu berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia pernah dibangkitkan sebelum ini.
“Sebagaimana yang dimaklumkan melalui hantaran mengenai kolam terbiar di kawasan yang sama sebelum ini, Putrajaya Care telah berhubung dengan agensi berkaitan dan memohon agar tindakan segera diambil bagi menambah baik aspek keselamatan.
“Keselamatan anak-anak kita adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi. Sehubungan ini, saya sekali lagi menggesa agensi berkenaan untuk bertindak segera sebelum berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Mohd. Radzi turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau anak-anak dan tidak membiarkan mereka berada di kawasan berbahaya termasuk di kolam terbiar.
Hari ini, Kosmo! dalam laporan muka depannya mendedahkan keadaan kolam terbiar yang tidak berpagar serta dipenuhi air hujan, sekali gus menjadi tarikan kepada kanak-kanak bermain air, meskipun berisiko mengundang tragedi sekiranya tiada pemantauan. – KOSMO! ONLINE