fbpx

Hamas setuju syarat bebas tahanan, desak gencatan senjata kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki memeriksa sisa runtuhan susulan serangan Israel ke atas kejiranan al-Tuffah, Bandar Gaza semalam. - AFP

BANDAR GAZA – Hamas bersedia untuk membebaskan 10 tahanan Israel yang masih hidup dan 18 mayat tebusan sebagai pertukaran untuk sejumlah tahanan Palestin, namun menggesa beberapa pindaan dilakukan kepada cadangan gencatan senjata, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Kumpulan pejuang Palestin itu mengulangi tuntutannya untuk gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza dan jaminan untuk aliran berterusan bantuan kemanusiaan. 

Tambahnya, ia telah mengemukakan maklum balas kepada draf Amerika Syarikat (AS) yang dicadangkan oleh Utusan Khas Presiden Donald Trump untuk Asia Barat, Steve Witkoff.

“Saya menerima respons Hamas terhadap cadangan Amerika Syarikat, namun ia sama sekali tidak boleh diterima dan hanya membawa kita kembali ke belakang. 

“Hamas harus menerima cadangan rangka kerja yang kami kemukakan sebagai asas untuk rundingan jarak dekat, yang boleh kami mulakan serta-merta minggu ini.

“Itulah satu-satunya cara kita boleh memuktamadkan perjanjian gencatan senjata selama 60 hari dalam beberapa hari akan datang,” kata Witkoff.

Hamas bagaimanapun berkata, ia mendesak gencatan senjata kekal dan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Semenanjung Gaza.

Kumpulan itu turut menuntut aliran bantuan berterusan untuk penduduk Palestin yang tinggal di enklaf itu.

Tambahnya, ia akan membebaskan 10 tebusan yang masih hidup dan mayat 18 tebusan sebagai pertukaran untuk ‘bilangan yang dipersetujui’ bagi tahanan Palestin di Israel.

“Tindak balas itu didorong oleh rasa tanggungjawab kami yang mendalam terhadap rakyat kami dan penderitaan mereka.

“Ia juga bertujuan untuk mendapatkan gencatan senjata kekal, pengunduran penuh Israel dari Semenanjung Gaza dan kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa gangguan,” kata Hamas dalam satu kenyataan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI