fbpx

Anggota tentera maut dirempuh lori rosak brek di masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kemalangan membabitkan sebuah lori dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh mangsa di Bandar Baharu Sungai Buloh, hari ini.

KUALA LUMPUR – Mangsa yang maut selepas dirempuh sebuah lori di Bandar Baru Sungai Buloh, di sini tengah hari tadi dikenal pasti sebagai anggota tentera.

Dalam kejadian pukul 1.35 tengah hari itu, mangsa yang menunggang motosikal dari Kem Tentera Paya Jaras, Sungai Buloh baharu sahaja tiba di masjid bagi menunaikan solat Jumaat sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian berlaku apabila sebuah lori dipercayai hilang kawalan akibat masalah brek ketika sedang membelok masuk ke kawasan parkir masjid.

“Lori berkenaan terus merempuh mangsa hingga terperosok ke bawah lori dan pada masa sama turut merempuh sebuah motosikal yang sedang di parkir, gerai makanan serta dinding masjid.

“Mangsa yang tersepit di bawah lori disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Hafiz berkata, jenazah akan diuruskan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kem Sungai Buloh dan akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kota Samarahan, Sarawak untuk pengebumian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terhadap pemandu lori berusia 39 tahun itu sedang dijalankan.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Che Hassan Ambok, di talian 013-3940423 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-61561222. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI