KOTA BHARU – Jenazah salah seorang daripada tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 104, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Sungai Sam, Kuala Krai semalam selamat dikebumikan sebentar tadi.
Jenazah Nurul Ain Abdul Rahim, 39, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu Merah, Melor di sini kira-kira pukul 2.30 petang.
Anak tiri Nurul Ain, Siti Noraina Abdul Ghaffar, 47, berkata jenazah ibunya tiba di Masjid Al Mukminin, Jambu Merah di sini kira-kira pukul 1.10 tengah hari selepas proses bedah siasat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai selesai.
Menurutnya, jenazah dua lagi mangsa iaitu, Nur Atikah Najihah Mohd. Shah Penilzain, 18 dan suaminya, Mohamad Faris Kamaluddin, 24, akan dibawa ke rumahnya di Kampung Kayu Rendang, Melor untuk tatapan terakhir hari ini.
“Kedua-dua jenazah akan dibawa ke Johor Bahru, Johor untuk urusan pengebumian yang dijangka pagi esok,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE