JAKARTA – Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh, manakala beberapa mangsa lain cedera ditimpa runtuhan batu di sebuah kuari di wilayah Jawa Barat, lapor portal berita Mail Online.
Kejadian berlaku sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan) di bandar Cirebon, kira-kira 217 kilometer ke timur Jakarta semalam.
Semua mangsa merupakan pekerja kuari terbabit, demikian menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNBP).
Kemalangan itu turut mencederakan seramai enam orang. Mereka sedang menerima rawatan di hospital tempatan.
Komander Tentera Daerah, Mukhammad Yusron berkata, pencarian dibatalkan sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan) kerana cuaca gelap serta keadaan tanah tidak stabil yang berisiko mencetuskan lebih banyak tanah runtuh.
Operasi menyelamat disambung semula hari ini untuk mencari mangsa yang masih hilang.
Ketua Jabatan Tenaga dan Sumber Mineral Jawa Barat, Bambang Tirto Mulyono berkata, kaedah perlombongan yang tidak betul menjadi punca utama bencana berlaku.
“Kami telah berulang kali memberi amaran kepada pengendali perlombongan,” kata Bambang sambil menambah, polis menutup tapak kuari itu sejak Februari lalu kerana tidak memenuhi piawaian keselamatan. – AGENSI