PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan peluang sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bagi mengetuai usaha menangani isu pemerdagangan manusia melibatkan warga Malaysia di Asia Tenggara.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kedudukan Malaysia di barisan hadapan kepimpinan ASEAN membolehkan negara memainkan peranan penting dalam merangka dasar bersama.
Katanya, ia termasuk memperkukuh kerjasama rentas sempadan dan menyelaras tindakan kolektif dalam membanteras jenayah pemerdagangan manusia yang semakin berleluasa.
Menurutnya, Malaysia perlu mengambil peluang strategik ini untuk mengangkat isu pemerdagangan manusia ke peringkat serantau dengan lebih menyeluruh dan berkesan.
“MHO mencadangkan agar negara-negara ASEAN menubuhkan satu pasukan tindakan khas serantau bagi menyelaraskan siasatan, usaha penyelamatan dan pemulangan mangsa-mangsa pemerdagangan manusia yang sedang terperangkap di negara anggota.
“Selain itu, perkasakan perjanjian dan protokol ASEAN sedia ada yang berkaitan dengan pembanterasan pemerdagangan manusia, termasuk memperkukuhkan mekanisme penguatkuasaan rentas sempadan dan pertukaran maklumat antara negara anggota,” katanya.
Hishamuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan surat kepada Perdana Menteri melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) serta dokumen yang mengandungi butiran seramai 28 mangsa yang dipercayai masih terperangkap di Myanmar di Wisma Putra hari ini.
Dokumen tersebut diserahkan kepada Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Konsular KLN, Datuk Mohammad Ali Selamat. – KOSMO ONLINE!