fbpx

Malaysia komited pastikan akses sejagat dalam ruang digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi pada Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT) 2025 di Tokyo, Jepun hari ini.

PETALING JAYA – Malaysia komited untuk memastikan akses sejagat, kesaksamaan teknologi dan kelestarian alam sekitar dalam ruang digital.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu beliau nyatakan pada Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT) 2025 di Tokyo, Jepun.

“Saya nyatakan sokongan penuh Malaysia terhadap Kenyataan Tokyo 2025 yang akan dilancarkan sempena APT.

“Khususnya dalam membina infrastruktur digital berdaya tahan, inklusif dan mampan untuk Asia Pasifik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

APT adalah organisasi antara kerajaan ditubuhkan pada 1979 di bawah kerjasama antara United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP) dan International Telecommunication Union (ITU)

Terdahulu, Fahmi memaklumkan, beliau mewakili Malaysia dalam Mesyuarat APT 2025 dengan negara-negara anggota bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat.

Jelas beliau, mesyuarat itu platform penting untuk merangka dasar serta strategi bersama ke arah pembangunan digital inklusif, mampan dan selamat di rantau Asia Pasifik.

Kata beliau, APT juga bertindak sebagai pentas kerjasama pelbagai hala di rantau yang paling pesat membangun daripada segi teknologi serta menyokong negara-negara membangun dalam aspek teknikal, kapasiti dan kawal selia ICT.

Sementara itu, katanya, menerusi sesi bersama Menteri bertajuk ‘Sustainable Digital Infrastructure and Accessibility’, beliau tekankan tentang usaha berterusan Kerajaan Madani dalam memperkukuh capaian dan keterangkuman teknologi.

Ujar beliau, negara telah memperluas capaian internet berkelajuan tinggi ke lebih 9.03 juta premis dan meningkatkan liputan 5G ke lebih 82 peratus kawasan berpenduduk.

Katanya, ia menyumbang kepada kemajuan keterangkuman digital, dengan kelajuan jalur lebar mudah alih mencapai purata 105.36 Mbps dan liputan internet 98.66 peratus pada suku keempat 2024.

“Dengan penembusan mudah alih sebanyak 61 peratus dan pelaksanaan 5G, Malaysia membuka lebih banyak peluang dalam pendidikan dan pelbagai industri.

“Malaysia juga bersedia bekerjasama dengan negara-negara APT lain untuk berkongsi inovasi dan membina masa depan digital yang inklusif dan mampan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI