fbpx

Koloni PATI sekitar Pasar Borong Selayang dikepung PGA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di sekitar Pasar Borong Selayang, awal pagi tadi. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seramai 1,435 warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan Op Kachi di sekitar Pasar Borong Selayang, di sini, awal pagi tadi.

Cubaan warga asing untuk melarikan diri juga dilihat gagal apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman telah membuat kepungan di kawasan berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, serbuan bermula pukul 10.45 malam hingga 5 pagi itu membabitkan 225 premis perniagaan dan rumah kedai yang dijadikan penempatan oleh warga asing.

“Semasa kita ‘lockdown’ (kepung) kawasan ini, ada juga cubaan melarikan diri seperti memanjat bumbung (premis rumah kedai).

“Namun, alhamdulillah, tangkapan kita ini tidak ada kecederaan termasuk semua anggota yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar, di sini, awal pagi tadi.

Operasi bersepadu itu turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Tenaga, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Mohamad Suzrin berkata, hasil serbuan, seramai 1,435 individu diperiksa terdiri daripada warganegara India, Nepal, Bangladesh, Indonesia, Myanmar termasuk warga tempatan.

Menurutnya, kawasan itu didominasi warganegara Myanmar yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) membabitkan 1,222 individu.

“Ia diikuti seramai 142 warganegara Bangladesh, India (9), Indonesia (2), Nepal (1) dan warga tempatan (1).

“Berdasarkan tangkapan hampir 1,500 individu ini, ada bayi dan kanak kanak dan saya percaya ada yang lahir di sini,” ujarnya.

Jelas Mohamad Suzrin, antara kesalahan dikesan membabitkan tiada dokumen perjalanan yang sah, menggaji PATI, tinggal melebihi tempoh, melindungi PATI dan salah guna permit.

Katanya, kes disiasat Seksyen 6(1)(c) dan Sekyen 15(1)(c), Seksyen 55E, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Suruhanjaya Tenaga turut mengesan kesalahan melakukan ubah suai meter elektrik, manakala pihak SPAN pula menjumpai penyambungan haram paip air.

“Beberapa notis juga telah dikeluarkan oleh DBKL di atas kesalahan membuat halangan di tempat awan serta mempamerkan iklan tanpa kebenaran selain menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI