KOTA BHARU – Kelantan merekodkan jumlah penyakit diabetes dan kolesterol yang tinggi sekali gus melepasi kadar di peringkat nasional.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dapatan kajian itu diperoleh hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang menunjukkan sebanyak 16.3 peratus penyakit kencing manis telah direkodkan berbanding paras nasional 15.6 peratus.
Menurutnya, kes melibatkan kolesterol tinggi pula berada pada paras 34.9 peratus iaitu 1.6 peratus melepasi paras nasional iaitu 33.3 peratus.
“NHMS 2023 menunjukkan dapatan yang saya kira amat membimbangkan walaupun Kelantan mencatat prestasi lebih baik dalam beberapa indikator berbanding paras nasional.
“Masalah berat badan berlebihan atau obesiti di negeri ini berada dalam keadaan baik apabila ia mencatat 51.6 peratus berbanding paras nasional, 54.4 peratus,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Wellness Hub Kelantan di Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Dzulkefly memberitahu, Kelantan turut menunjukkan prestasi lebih baik dalam kadar penyakit darah tinggi apabila ia mencatatkan kira-kira 27.9 peratus iaitu 1.3 peratus lebih rendah berbanding paras nasional pada paras 29.2 peratus.
Menurutnya, kesihatan merupakan amanah yang wajib dijaga dan dalam kerangka Maqasid Syariah dengan menjaga nyawa dan kesihatan yang menjadi objektif tertinggi dalam Islam. – KOSMO! ONLINE