fbpx

Ernie, Anggi beradu vokal dengan ‘Kisah Penuh Kecewa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ernie (kanan) berpadu vokal menerusi lagu Kisah Penuh Kecewa bersama bintang seberang, Anggi.

TIDAK cukup dengan Masing-Masing bersama Ade Govinda yang telah menebarkan wangi nama di Indonesia, Ernie Zakri melancarkan peluru vokal berbisa keduanya, Kisah Penuh Kecewa bagi mengukuhkan pengaruhnya.

Dua suara luar biasa dari dua negara, Ernie Zakri (Malaysia) dan Anggi Marito (Indonesia) bergabung dalam sebuah karya ‘power ballad’ menyelami luka hati akibat cinta tidak kesampaian, namun tetap membawa mesej kekuatan dan ketabahan.

Menggabungkan kekuatan vokal dan emosi mendalam, Kisah Penuh Kecewa mahu menyentuh hati pendengar Malaysia dan Indonesia, serta peminat muzik serantau yang menghargai karya-karya bernuansa emosi serta berjiwa.

Pemenang Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-39 itu berkata, lagu berkenaan menceritakan kisah cinta yang berakhir bukan kerana tiada rasa, tetapi salah seorang pasangan sudah memilih untuk tidak bersama lagi. Namun begitu, di sebalik kekecewaan tersebut wujud kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan.

“Lagu Kisah Penuh Kecewa sebuah lagu yang sedih, mengenai cinta yang tidak menjadi kenyataan kerana pasangan sudah tidak mahu meneruskan hubungan. Tapi di penghujungnya, lagu ini membawa kekuatan apabila lelaki atau wanita itu tetap tabah menghadapi segala cabaran,” katanya.

Semakin membina nama di Indonesia selepas ledakan lagu Masing Masing, Ernie kini hadir dengan single duet baharu berjudul Kisah Penuh Kecewa. 

Proses rakaman lagu itu turut memberikan pengalaman yang bermakna buat Ernie apabila dia perlu terbang ke Jakarta untuk sesi rakaman bersama Anggi dan pasukan produksi di sana.

“Rakaman berjalan dengan baik, tidak banyak cabaran. Cuma ketika itu kita sudah memasuki bulan Ramadan, jadi agak mencabar juga bila tak boleh minum air,” katanya.

Ernie turut menyatakan rasa teruja dan bertuah dapat bekerjasama dengan tenaga kreatif seperti Clara Riva (penulis lagu), S/EEK (penerbit muzik) serta IRVNAT selaku pengarah vokal yang memberikan bimbingan teknikal sepanjang proses rakaman.

“Saya sangat bangga dapat bekerja dengan Anggi yang saya anggap salah seorang penyanyi muda terbaik Indonesia. Juga dengan Clara, S/EEK dan IRVNAT, ini adalah projek yang sangat bermakna dalam karier saya tahun ini,” katanya.

Biarpun berbeza latar negara, kolaborasi antara dia dan Anggi membuktikan bahawa muzik tidak mengenal sempadan.

Gabungan suara unik dan emosi yang tulus menjadikan Kisah Penuh Kecewa sebuah lagu balada yang bukan sahaja menyentuh hati, malah memberikan ruang untuk pendengar merasai sendiri perjalanan perpisahan yang pedih namun penuh kekuatan.

“Lirik lagu ini sangat straightforward. Saya rasa ramai pendengar akan mudah faham dan boleh kaitkan diri dengan mesej lagu ini. Saya cuma harap mereka dapat menikmati lagu ini dan kalau pernah melalui pengalaman sama, mungkin lagu ini boleh jadi peneman,” kata Ernie lagi.

Penghormatan besar – Anggi

Bagi Anggi Marito yang juga pemenang tempat ketiga program Indonesian Idol musim 11, peluang untuk berkolaborasi dengan Ernie Zakri adalah satu penghormatan besar buat dirinya.

Sebagai peminat Ernie, Anggi menyifatkan penyanyi lagu Aura itu sebagai individu yang bukan sahaja mempunyai vokal hebat tetapi juga mampu menyampaikan rasa dengan mendalam.

“Saya sudah lama mengenali nama Ernie dan mengagumi suaranya yang begitu indah. Dia punya ‘power’ dan ‘feel’ yang sangat dalam. Setiap lagu yang dia nyanyikan terasa langsung ke hati. Saya rasa sangat bertuah dapat bekerjasama dengannya,” ujar Anggi.

Menurutnya, proses penulisan lagu Kisah Penuh Kecewa yang dilakukan bersama Clara Riva berjalan dengan lancar dan cepat.

Walaupun pada awalnya mereka masih mencari arah dari segi konsep dan tema lagu, keserasian vokal Ernie dan Anggi akhirnya membawa mereka kepada keputusan untuk menjadikan lagu ini sebuah ‘power ballad’ yang sarat emosi.

Dengan mesej jujur dan melodi yang menyentuh hati, Ernie dan Anggi berharap Kisah Penuh Kecewa dapat diterima baik pencinta muzik di kedua-dua negara serta menjadi penguat semangat bagi mereka yang sedang melalui fasa kecewa dalam percintaan.

“Kami mahu pendengar benar-benar merasai isi hati lagu ini. Semoga ia dapat diterima dengan baik oleh semua pencinta muzik sama ada di Indonesia mahupun Malaysia,” kata Ernie dengan penuh harapan.

Kisah Penuh Kecewa bukan sekadar lagu duet biasa sebaliknya gabungan dua jiwa seni yang menyampaikan kisah patah hati, kejujuran dalam mencintai dan perjuangan untuk melepaskan.

Dibalut dengan melodi megah dan lirik yang menyayat jiwa, lagu ini dijangka menjadi siulan ramai. 

Bintang vokal dari Indonesia, Anggi Marito, bakal membuat penampilan istimewa di Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang akan berlangsung pada 31 Mei 2025 di The Theatre at Mediacorp, Singapura. 

Lagu ini kini boleh didengar di semua platform penstriman digital pada 23 Mei 2025. Saksikan juga video muzik rasmi yang membawa naratif visual seiring dengan kekuatan vokal dua penyanyi hebat tersebut. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI