SHAH ALAM – Polis Selangor akan menahan 13 individu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA) bagi membantu siasatan berhubung sindiket mencuri kabel.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan kesemua suspek dilakukan menerusi Op Lusuh Mulia.
Katanya, kecurian kabel itu dilakukan di lokasi melibatkan laluan kritikal yang menyokong infrastruktur data kerajaan dan sektor keselamatan.
“Gangguan terhadap kemudahan ini berpotensi besar menjejaskan penyelenggaraan perkhidmatan telekomunikasi dan infrastruktur komunikasi berkaitan. Ini sekali gua mengancam ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan berikutan jenayah yang dilihat mempunyai niat untuk mensabotaj sistem telekomunikasi di negeri ini dan Kuala Lumpur.
Katanya, kesemua mereka akan ditahan lanjut selama 28 hari di bawah Seksyen 45 Akta SOSMA 2012.
Kosmo! sebelum ini melaporkan lima anggota polis merupakan antara 16 individu yang ditahan selepas disyaki terbabit jenayah curi kabel di Jalan Jati, Kampung Desa Putera, Sungai Merab awal minggu lalu.
Sindiket dikenali dengan rujukan ‘Mulia’ itu didalangi dua lelaki masing-masing memiliki 29 dan 36 rekod jenayah.
Hasil siasatan mendapati sindiket yang bergerak aktif di Lembah Klang itu melakukan 23 transaksi jualan kabel di sebuah kedai besi buruk di Semenyih dengan memperoleh hasil sebanyak RM683,000. – KOSMO! ONLINE