KUALA LUMPUR – Program Baucar Buku MADANI anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) mencatat kejayaan membanggakan apabila mencapai kadar penebusan 100 peratus menjelang 31 Disember 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar berkata, kejayaan itu membuktikan bahawa para penerima memanfaatkan sepenuhnya peluang keemasan tersebut.
“Program ini bukan sahaja memperluas akses kepada bahan bacaan, malah turut menyemai minat membaca serta melahirkan generasi pembaca baharu.
“Rakyat dari segenap lapisan, termasuk anak-anak di luar bandar, kini berpeluang memiliki buku yang sama seperti rakan mereka di kota,” katanya ketika Pembentangan Dapatan Kajian Impak Program Pemberian Baucar Buku tahun lalu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Adibah, lebih 800,000 baucar berjaya ditebus melalui platform digital bookcapital.my oleh murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, pelajar institusi pengajian tinggi serta pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Katanya, inisiatif itu turut melibatkan lebih 1,000 penjual buku tempatan selain memanfaatkan teknologi dan analitik data bagi memastikan kelancaran keseluruhan program.
“Kajian impak mendapati bahawa 94.5 peratus responden bersetuju program tersebut berjaya memupuk minat membaca, manakala 97.5 peratus menyatakan baucar itu memberi manfaat kepada pelajar, terutamanya golongan kurang berkemampuan.
“Kaedah penebusan secara dalam talian sepenuhnya turut mencatat 72.1 peratus tahap kepuasan tinggi dalam kalangan responden kerana prosesnya yang mudah dan mesra pengguna.
“Malah, program ini turut memberi manfaat kepada pelajar kurang upaya melalui penyediaan bahan bacaan braille, membuktikan bahawa tiada siapa yang dipinggirkan dalam usaha merakyatkan ilmu,” ujarnya.
Tambah Adibah, menerusi kerjasama dengan syarikat kurier dan e-dagang, Perbadanan Kota Buku berjaya memastikan penghantaran buku kepada lebih 3.5 juta penerima di seluruh negara, termasuk kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Adibah turut menyatakan harapannya agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Mungkin tahun yang lepas itu permulaannya. Kalau ada rezeki yang amat berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setuju, kita doa ada rezekinya.
“Jika program diteruskan tiga hingga lima tahun lagi, anak-anak ini akan membesar menjadi dewasa yang bekerja, berkeluarga, dan memulakan budaya membaca dalam keluarga mereka sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE