PETALING JAYA – Kumpulan Maremaf Wind Orchestra (Mawo) terdiri daripada 59 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) membuktikan bakat seni anak Felda mampu menyaingi kelas antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyaksikan sendiri persembahan hebat kumpulan orkestra tersebut semasa rakaman Konsert Desaku Mendunia di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur malam tadi.
“Kumpulan MAWO ini akan mewakili negara dalam pertandingan orkestra berprestij di Prague, Republik Czech bersama peserta dari 11 negara lain.
“Ini merupakan satu manifestasi jelas bahawa pendidikan holistik dan pembangunan insaniah yang diterapkan di MRSM Felda mampu melahirkan anak bangsa bertaraf dunia baik dalam bidang akademik, keusahawanan dan seni muzik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga MAWO, guru-guru, ibu bapa serta barisan pentadbiran MRSM Ulul Albab Felda Trolak.
“Teruskan berlatih, kekalkan disiplin dan bawalah semangat Malaysia ke Prague. Insya-Allah, doa kami semua mengiringi langkah kalian. Selamat maju jaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE