KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada tangkapan dibuat setakat ini berhubung kematian bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah taska di Setapak di sini Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, setakat ini rakaman percakapan sedang dilakukan Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.
“Kita merakam keterangan pemilik taska, pengasuh dan lain-lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Siasatan akan dijalankan dari semua sudut termasuk rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
“Buat masa ini tiada lagi tangkapan. Kertas siasatan telah dibuka dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan segera,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan bayi lelaki, Muammar Aidil tidak sedarkan diri tidak sampai sejam selepas dihantar ke taska pada pukul 9.20 pagi sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah hospital pakar.
Bapanya, Aidil Khalid, 41, berkata, pemergian Muammar begitu pantas dan mengejutkan kerana bayi itu dalam keadaan sihat ketika dihantar isterinya, Nur Farihah ke taska pada pagi kejadian.
Pada hari kejadian, anak pasangan peguam itu tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom tidak sihat.
Mengulas lanjut, Syahrul Anuar memberitahu, punca kematian bayi tersebut adalah disebabkan tersedak susu, bukannya lemas kerana dibedung.
“Indikasi itu terlalu subjektif, benda itu (bedung) tak boleh menyebabkan kematian. Terlalu awal untuk kita kata punca kematian disahkan akibat tersedak susu.
“Setakat ini belum ada keputusan lanjut sama ada benar disebabkan kecuaian pihak pengasuh. Kes tersebut pertama kali terjadi di taska berkenaan. Premis itu sudah lama beroperasi secara sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE