SEGAMAT – Bapa serta seorang anak perempuannya maut dalam satu kemalangan menyayat hati apabila kenderaan dinaiki mereka sekeluarga jatuh ke dalam gaung di Kampung Kwongsai, Jalan Segamat – Labis, di sini lewat petang semalam.
Mangsa maut dikenalpasti sebagai Mohd Fitri Md Said, 37 serta anak perempuannya, Nurin Insyirah Mohd Fitri, 9.
Menurut Komander Operasi, PBK II KUP Zainal Abidin Che Deraman, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.47 petang mengenai kejadian.
“Setibanya pihak bomba di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Hilux telah terbabas dan jatuh ke dalam gaung yang berkedalaman 15 kaki.
“Pihak bomba bertindak menyelamatkan mangsa yang tersepit menggunakan hydraulic ramp dan lain-lain peralatan khas bagi menstabilkan kenderaan untuk mengeluarkan mangsa yang berada di bawah kereta.
“Terdapat tiga orang mangsa yang merupakan isteri serta anak mangsa mengalami kecederaan telah keluar sendiri dari kenderaan dan dibawa ke hospital sebelum pihak bomba tiba manakala dua orang mangsa di sahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia ditempat kejadian,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Ujar beliau, mangsa yang cedera dikenalpasti sebagai isteri Mohd Fitri, Nurain Farhana Johari, 32, serta tiga anaknya, Nur Atiya Mohd Fitri 2, Muhammad Zikri Mohd Fitri, 11, serta Nur Husna Mohd Fitri, 4.
Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Seramai tujuh orang anggota diketuai Komander Operasi, PBK II KUP Zainal Abidin Che Deraman, dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat dikejarkan ke tempat kejadian bersama satu jentera.- KOSMO! ONLINE