MEKAH – Jemaah haji ternyata teruja dengan layanan serta menu makanan yang disediakan di kafeteria disediakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di Bangunan Penginapan Jemaah Haji (BPJH) di sini.
Abu Hasim Awaludin, 74, berkata, antara situasi mengujakannya adalah kelonggaran diberikan oleh jurujual yang tidak kisah menu makanan dibayar pada bila-bila masa.
“Oleh kerana kaunter dia satu sahaja, kita kena beratur, jadi dia beri kelonggaran kita makan dahulu, ambil gambar (makanan) dan bila-bila kita boleh bayar. Waktu petang ke, pagi esok pun kita boleh bayar.
“Itu istimewa dia (kafeteria TH) saya puji, tempat lain tiada, kita ambil (makanan) kita kena bayar. Awak makan dahulu janji awak ambil gambar selepas itu awak bayar bila-bila, ketika kaunter (bayaran) sudah kurang (pelanggan) pun boleh,” katanya ketika ditemui di Hotel Land Premium di sini semalam.
Mengulas mengenai makanan yang disediakan di kafeteria BPJH, katanya, semua menu yang disediakan di situ adalah amat menepati cita rasa warga Malaysia selain terdapat nasi lemak, nasi kerabu, kuih-muih termasuk kuih akok.
Seorang guru, Muhamad Fakhri Kamarul Zaman, 34, berkata, makanan yang disajikan di kafeteria jemaah menawarkan harga yang lebih murah berbanding kedai-kedai di luar serta di pasar raya.
“Antara kegemaran saya adalah nasi lemak, sambalnya manis kena dengan selera. Setakat ini saya tidak rindukan makanan Malaysia tetapi saya rindukan juadah Indonesia,” ujarnya berseloroh.
Dalam pada itu, dia juga menyambut baik kelonggaran pihak kafe membenarkan jemaah untuk membayar makanan pada bila-bila masa bagi mengelakkan beratur panjang.
Sementara itu, Pengurus Operasi Kafeteria TH, Muhammad Najib Zulkifli berkata, terdapat tujuh kafeteria di BPJH Mekah dengan tiga daripadanya di bawah TH iaitu di Abraj Al Janadriyah, Hotel Land Premium dan Abraj Al Tayseer.
“Kita membawa tiga cef masing-masing di tiga kafe tersebut. Menu di sini berasaskan negeri kelahiran jemaah seperti kopi Malaysia, mi segera, biskut selain budu, tempoyak dan sambal belacan.
“Operasi kafe bermula dari pukul 4.30 pagi sehingga 11 malam, jadi makanan akan sampai dalam pukul 4 pagi. Setiap dua jam kita akan periksa, kalau tidak elok kita akan buang bagi menjaga kualiti makanan,” katanya.
Jelasnya, dalam memastikan harga makanan itu tidak membebankan jemaah, pihak kafeteria mengikuti senarai harga yang telah diberikan oleh TH.
“TH telah beri kita senarai harga, sebelum memulakan perniagaan kita akan bermesyuarat dahulu. Contohnya kuih tidak boleh lebih 6 Riyal Saudi, jadi kita jual 5 Riyal Saudi,” tambahnya.