LONDON – Hampir 200,000,000 kata laluan telah didedahkan selepas pencuri digital mencuri data yang dikaitkan dengan beberapa firma teknologi terbesar dunia, lapor akhbar Metro UK semalam.
Senarai butiran log masuk orang ramai didedahkan pada pangkalan data awam termasuk nama pengguna, e-mel, kata laluan dan dalam beberapa kes, data kewangan.
Pakar keselamatan kini memberi amaran kepada orang ramai supaya menukar kata laluan mereka untuk meminimumkan risiko.
Antara platform yang terdedah kepada kegiatan itu termasuk Google, Facebook, Microsoft, Apple, Snapchat, Netflix, Roblox dan Paypal.
Data itu dipercayai dicuri menggunakan sejenis perisian berniat jahat dipanggil perisian hasad (malware) infostealer, demikian menurut Website Planet.
Perisian hasad itu menjangkiti peranti individu dan secara rahsia mencuri kata laluan yang disimpan, data auto lengkap, e-mel, dokumen dan kuki penyemak imbas.
Ia bertindak seperti penyeluk saku digital yang merampas maklumat sensitif disimpan pada komputer atau telefon pengguna apabila pengguna berada dalam talian.
Penjenayah siber kemudian menggunakan data yang dicuri itu untuk memecah masuk ke akaun lain, menghantar mesej palsu (phishing) atau melakukan kecurian identiti. – AGENSI