TUMPAT- Seorang tekong darat maut selepas kereta dipandunya yang membawa seramai tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar terbabas semasa dikejar kenderaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Jalan Bunut Sarang Burung-Kampung Kebakat di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, mangsa yang berusia 34 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian dada meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu kira-kira tiga jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang bekerja sebagai buruh memandu kereta jenis Proton Perdana dari arah Bunut Sarang Burung menghala ke Kota Bharu dengan membawa tujuh PATI berusia dalam lingkungan 20 hingga 42 tahun.
Menurutnya, kereta tersebut kemudian dikejar oleh kenderaan APMM.
“Keadaan itu menyebabkan suspek bertindak melarikan diri ke arah Kota Bharu melalui Jalan Kebakat.
“Kereta yang dipandu suspek bagaimanapun terbabas sebelum merempuh longkang konkrit di laluan bertentangan semasa tiba di Jalan Bunut Sarang Burung-Kampung Kebakat,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Khairi memberitahu, suspek yang mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dihantar ke HRPZ II, namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10 pagi.
Menurutnya, tujuh PATI yang dibawa di dalam kereta turut mengalami kecederaan dan dirawat di hospital sama.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala kesemua PATI yang terlibat dalam kemalangan itu disiasat oleh pihak APMM di bawah Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE