PETALING JAYA – Satu sindiket penyeludupan migran yang aktif membawa masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laluan laut di Johor akhirnya tumpas dalam Operasi Khas Jabatan Imigresen (JIM), semalam.
Operasi bermula pukul 10 malam itu dijalankan serentak di Kukup, Skudai dan Batu Pahat, Johor hasil kerjasama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, serta JIM Johor selepas tiga minggu risikan.
Dalam serbuan itu, seramai 11 individu ditahan termasuk ‘Dedi’, seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki sebagai dalang utama sindiket.
Turut dicekup, dua lelaki Indonesia dipercayai tekong, dua wanita tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’ dan penjaga rumah penampungan, serta enam warga Indonesia lain.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, semua suspek berusia antara 25 hingga 47 tahun.
“Bayaran sebanyak RM2,100 dikenakan kepada setiap migran oleh sindiket untuk urusan perjalanan ke Johor atau Indonesia.
“Mereka akan ditempatkan di sebuah hotel yang dijadikan rumah penampungan untuk
mengaburi pihak berkuasa sebelum dibawa masuk dan keluar dari Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, sindiket dipercayai telah aktif sejak enam bulan lalu dan menggunakan laluan laut antara Indonesia dan Johor sebagai pintu masuk dan keluar.
Dalam operasi itu katanya, pihaknya turut menyita lapan telefon bimbit, dua pasport Indonesia, wang tunai RM1,173, sebuah kenderaan Naza Citra dan sebuah bot yang dipercayai digunakan untuk penyeludupan.
“Semakan ke atas warga Indonesia mendapati, ada yang tinggal lebih masa dan sebahagian besar tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” ujarnya.
Zakaria berkata, seramai tiga lelaki warga Indonesia dan dua perempuan warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek.26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Manakala baki warga asing yang ditahan katanya, disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan telah dibawa ke Pejabat Imigresen di Setia Tropika, Johor untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE