JAKARTA – Berpuluh-puluh ribu orang sanggup berkumpul dan beratur pada awal pagi untuk mendapatkan pekerjaan di sebuah ekspo di Bekasi, wilayah Jawa Barat, lapor portal berita NTV News.
Ekspo Bekasi Pasti Kerja itu diadakan di Pusat Konvensyen Universiti Presiden dekat daerah Cikarang Utama, semalam.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @bekasi.terkini menunjukkan pekarangan universiti itu dibanjiri berpuluh-puluh ribu individu yang cuba menyerahkan resume mereka.
Mereka tetap sabar menunggu sehingga tidak mempedulikan kesihatan dan keadaan diri.
Kesesakan melampau itu juga menyebabkan sejumlah pencari kerja yang kebanyakannya wanita, rebah ke tanah.
“Sejumlah pencari kerja rebah dan kami segera membantu mereka bersama pasukan kecemasan,” kata Ketua Sumber Manusia Polis Metro Bekasi, Pesuruhjaya Endang Longla.
Rakaman itu mencatatkan lebih 55,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.
“Mereka yang di ‘atas’ sibuk kaut duit, yang di bawah sibuk cari duit,” kata seorang netizen.
“Zaman sekarang sudah canggih. Kenapa tak gunakan online?” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI