fbpx

OKU lembam, rakan didakwa tujuh pertuduhan rompak kedai serbaneka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis membawa Mohammad Lukman Akiff (depan) dan Muhamad Zulhusni Irfan untuk didakwa atas tujuh pertuduhan merompak di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Dua lelaki termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) lembam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan merompak wang tunai sebanyak lebih RM 1,187 dan cubaan merompak dalam tempoh dua hari di tujuh buah premis kedai serbaneka di daerah ini kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohammad Lukman Akiff Mohamed, 28, dan Muhamad Zulhusni Irfan Mohamed, 20, yang merupakan OKU lembam bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka bersama-sama didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap dua lelaki berusia 31 dan 24 tahun di dua buah kedai serbaneka di Pengkalan Chepa di sini dengan melarikan wang tunai sebanyak RM250 kira-kira pukul 4.20 pagi dan 4.30 pagi pada 10 Mei lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki berusia 23 tahun dengan membawa lari sebanyak RM252.80 di sebuah kedai serbaneka di Jalan Temenggung kira-kira pukul 6.10 pagi pada 11 Mei lalu.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun dengan melarikan wang tunai sebanyak RM42.50 di sebuah kedai serbaneka di Kampung Tanjung Mas di sini kira-kira pukul 3.30 pagi pada 11 Mei lalu.

Berdasarkan pertuduhan kelima, kedua-dua lelaki itu dituduh melakukan perbuatan sama terhadap seorang lelaki berusia 24 tahun dengan merompak wang tunai sebanyak RM23.50 di sebuah kedai serbaneka di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa kira-kira pukul 3.50 pagi pada hari yang sama.

Bagi pertuduhan keenam pula, mereka didakwa merompak mangsa berusia 21 tahun dengan melarikan wang tunai sebanyak RM642.50 di sebuah kedai serbaneka di Jalan Long Yunus kira-kira pukul 5.58 pagi pada hari yang sama.

Keenam-enam pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketujuh, kedua-dua tertuduh turut didakwa atas cubaan melakukan rompakan ke atas seorang lelaki berusia 24 tahun di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sultan Ibrahim kira-kira pukul 6.00 pagi pada 12 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kerana yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin selain menetapkan 29 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI