STATUS kuota tonggak import bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2025/2026 akhirnya didedahkan dengan jumlah keseluruhan 15 pemain boleh didaftarkan oleh setiap kelab yang bertanding musim depan.
Keputusan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu menerima reaksi kurang senang daripada pelbagai pihak yang arif dengan arena sukan tanah air tidak kira berbaur positif atau negatif.
Ada yang berpendapat saingan Liga M masih terlalu jauh dan belum mencapai standard liga-liga utama di Eropah untuk menawarkan kuota import yang banyak buat mana-mana pasukan tempatan.
Jika mahu perbandingan dibuat, tidak keterlaluan kelonggaran yang diberikan oleh MFL antara yang tertinggi daripada pengelola liga bola sepak di rantau Asia ketika ini.
Liga Pro Arab Saudi yang dianggap antara kejohanan termewah di dunia hanya membenarkan setiap pasukan mendaftarkan 10 pemain import termasuk dua pemain import bawah 21 tahun (B-21).
Kelab-kelab liga tersebut hanya boleh menurunkan lapan pemain import dalam kesebelasan utama tetapi dibenarkan untuk menurunkan semua pemain import pada saingan peringkat kalah mati seperti Piala Raja Arab Saudi atau Piala Super.
Sementara itu, saingan Liga Jepun pula tidak memberikan sebarang had spesifik kepada kelab-kelab divisyen utama (J1).
Namun, mereka hanya boleh membariskan lima pemain import dalam perlawanan.
Bagi saingan Liga Korea Selatan pula, setiap pasukan hanya dibenarkan untuk mendaftarkan enam pemain import dan lima boleh diturunkan pada satu-satu masa.
Pesaing Liga M di rantau Asia Tenggara pula seperti negara Indonesia, pihak pengelola liga di sana membenarkan kelab mendaftarkan lapan pemain dan enam pemain boleh diletakkan dalam kesebelasan utama.
Liga Singapura pula membenarkan sembilan pemain import, manakala Thailand pula tujuh.
Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli menyifatkan keputusan MFL sebagai satu langkah berani tetapi keberkesanannya hanya boleh dirumuskan selepas saingan Liga M bermula nanti.
Menurut Pekan, keputusan itu mungkin boleh memberi kesan yang negatif untuk jangka panjang kerana Liga M tidak memiliki tahap komersial yang eksklusif selain peluang buat pemain tempatan juga semakin tipis.
“Setiap pasukan dibenarkan mendaftar 15 pemain import dan tujuh pemain boleh diturunkan dalam satu-satu masa.
“Kalau tujuh pemain import dalam kesebelasan utama, berapa sahaja kuota untuk anak tempatan.
“Selain itu, tahap komersial Liga M tidak seperti liga di Eropah macam EPL (Liga Perdana Inggeris). Mana kita nak jual hak penyiaran kerana pasaran kita tidak besar,” katanya.
Apa yang pasti, setiap pasukan Liga M disaran untuk berbelanja mengikut poket sendiri kerana kuota 15 import ini tidak wajib dipenuhi.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar pula menganggap keputusan MFL itu sebagai positif terutama untuk kelab yang bersaing di pentas Asia seperti skuad Gergasi Merah dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Tetapi perubahan dan langkah ini adalah baik terutamanya untuk Selangor dan juga JDT sebab dua pasukan ini akan beraksi di ACL dan kelab AFF,” katanya.














