fbpx

Dua ahli sindiket along simbah cat pada rumah, kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara tertuduh yang dibawa ke mahkamah atas tuduhan melakukan khianat dengan cara menyimbah cat. Foto RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Dua lelaki dipercayai ahli kumpulan sindiket along dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret berbeza di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat pada rumah dan kereta mangsa.

Tertuduh, R. Sahswin, 25, dan P. Yugendran, 31, mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepada mereka dan dikenakan hukuman denda.

Di hadapan Majistret A. Shaarmini, kedua-dua mereka diperintah membayar denda RM4,500 seorang atau jika gagal 12 bulan penjara.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa menyimbah cat ke pagar rumah milik seorang individu menyebabkan kerugian bernilai lebih RM35. Perbuatan itu dilakukan di Jalan Jenawi 8, Taman Puteri Wangsa di sini pada pukul 10.57 malam, 1 Mei lalu.

Di hadapan Majistret Nabilah Nizam pula, Sahswin didenda RM1,000 masing-masing atas dua pertuduhan menyimbah cat ke sebuah rumah dengan kerugian RM35 serta ke sebuah kereta Honda City dengan kerugian RM350 di sebuah rumah di Jalan Lading 11, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram pada pukul 10.40 malam, 1 Mei lalu dan Jalan Tun Abdul Razak di sini, pada pukul 12.20 tengah hari, 27 April lalu.

Manakala, Yugendran pula didenda RM2,200 atau 12 bulan penjara oleh Majistret Atifah Hazimah Wahab selepas mengaku bersalah menyimbah cat merah ke pagar rumah seorang lelaki menyebabkan kerugian RM249.37 di Jalan Hang Jebat 4, Taman Skudai Baru, di sini pada pukul 3.12 petang, 28 April lalu.

Sementara itu, di hadapan Majistret Shaarmini, Sahswin turut didakwa dengan satu pertuduhan melakukan ugutan terhadap seorang lelaki melalui kertas notis untuk membakar rumah di Jalan Jenawi 8, Puteri Wangsa di sini, pada pukul 3.20 petang, 9 Mei lalu.

Di mahkamah sama, Sahswin turut didenda RM2,500 atau enam bulan penjara selepas mengaku salah memasukkannya dadah ke dalam dirinya di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara pada pukul 3.55 petang, 15 Mei lalu.

Yugendran pula dikenakan hukuman denda RM1,800 atau enam bulan penjara oleh Majistret Nabilah selepas mengaku bersalah memasukkan dadah ke dalam dirinya pada pukul 4 pagi, di tempat dan hari yang sama dengan Sahswin.

Kemudian, di hadapan Majistret Atifah Hazimah, Sahswin dan Yugendran bersama seorang lagi tertuduh, S.K. Kiren, 24, mengaku tidak bersalah memiliki 20.04 gram ganja di Jalan Inang 7, Taman Skudai Baru di sini, kira-kira pukul 11.40 malam, 14 Mei lalu.

Ketiga-tiga tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. – KOSMO!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI