PETALING JAYA – Seorang guru yang dikenali sebagai Cikgu Nina didakwa telah meninggal dunia selepas berkongsi pengalaman mistik sehingga tular di media sosial apabila dikatakan pernah tidur bersama makhluk halus berupa pocong di rumah sewanya.
Kisah ini dikongsi pemilik akaun @tinieamzah di Threads, yang menceritakan pengalaman seram Cikgu Nina sewaktu menetap di sebuah rumah sewa di Shah Alam selepas menerima tawaran kerja di kawasan tersebut.
Tuan rumah memaklumkan bahawa rakan serumah guru tersebut tiada kerana pulang ke kampung selama tiga hari.
Namun begitu, pada hari pertama, Cikgu Nina melihat kelibat seorang wanita sedang membasuh tangan di dapur.
Wanita itu menyerupai rakan serumah, berbau harum, tubuh dingin dan sering menemaninya tidur.
Misteri terbongkar apabila jiran memaklumkan pernah melihat Cikgu Nina bercakap seorang diri sehinggakan dia terus keluar dari rumah tersebut selepas disahkan oleh tuan rumah mengenai kewujudan rakan serumahnya masih di kampung halamannya.
Semenjak itu, dia sering diganggu oleh makhluk halus tersebut sehingga menyebabkan dia mendapatkan rawatan alternatif.
Kisah ini menerima pelbagai reaksi netizen, ada yang mempertikaikan kesahihan cerita dan kewujudan sebenar Cikgu Nina.
“Cikgu Nina ini benar-benar wujud ke, atau cerita ini sekadar rekaan?” soal @aisbatu_38.
Dalam hantaran sama, @tinieamzah memaklumkan bahawa Cikgu Nina telah meninggal dunia empat hari lalu, dan berita itu turut disahkan oleh ibunya.
“Untuk makluman semua, pemilik akaun TikTok ini, Cikgu Nina telah kembali ke rahmatullah empat hari lepas. Mak dia sendiri yang sahkan. Mohon semua sedekahkan doa dan Al-Fatihah buat arwah,” tulisnya. -KOSMO! ONLINE