KUALA LUMPUR – Seramai 30 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian diberkas dalam serbuan Op Dadu di sebuah premis perniagaan di Jalan Tun Razak di sini, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu.
“Modus operandi sindiket dipercayai mempromosikan aktiviti judi dalam talian kepada individu warganegara China melalui platform panggilan (calling centre).
“Sindiket ini disyaki didalangi seorang lelaki warganegara China yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Serbuan bermula pukul 11.30 pagi itu dijalankan pasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Wangsa Maju dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Rusdi berkata, hasil serbuan, pihaknya berjaya menahan seramai 23 lelaki dan enam perempuan tempatan termasuk seorang wanita warganegara China.
“Kesemua yang ditahan merupakan pekerja sindiket berusia dalam lingkungan 20 hingga 27 tahun.
“Serbuan turut merampas sebanyak 30 unit monitor lengkap dengan tetikus dan papan kekunci, 60 unit telefon bimbit, satu keping kad akses serta dua unit router,” jelasnya.
Katanya, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – KOSMO! ONLINE