KUALA LUMPUR – Buku-buku keislaman dari Istanbul, Turkiye ternyata mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, khususnya apabila ia ditawarkan secara percuma.
Menurut wakil penerbitan Hakikat, Abdulhakim Kerimoglu, 27, dia mengedarkan karya-karya ilmuwan Islam tersohor, Hüseyin Hilmi Işık, yang telah meninggal dunia pada tahun 2001, kepada pengunjung di sini.
“Orang ramai mesti belajar Islam secara percuma. Kami tidak menjual buku ini kerana misi utama kami ialah untuk menyampaikan ilmu Islam kepada semua, tanpa mengira latar belakang,” katanya di Pusat Dagangan Dunia (WTC), disini hari ini.
Reruai tersebut menarik perhatian ramai dengan pelbagai judul seperti ‘Akhlaq-Akhlaq Dalam Islam’ dan ‘Pengakuan Seorang Perisik Inggeris’ yang menyentuh soal keimanan, akhlak serta pembersihan hati.
Abdulhakim menjelaskan, karya Hüseyin Hilmi Işık tidak mengandungi pendapat peribadi, sebaliknya disusun berdasarkan pandangan ulama bersandarkan al-Quran dan hadis.
“Buku ini membimbing kita mengenali akhlak buruk yang ada dalam diri dan bagaimana untuk memperbaikinya. Ia bukan sekadar bacaan, tapi panduan kehidupan,” jelasnya.
Koleksi buku tersebut telah diterjemah ke dalam lebih 35 bahasa, termasuk Bahasa Melayu, menjadikannya lebih dekat dengan pembaca tempatan.
Kehadiran mereka ke PBAKL dari Istanbul adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya dalam menyebarkan ilmu Islam yang sahih melalui penulisan berkualiti dan mudah difahami.
Orang ramai dijemput mengunjungi reruai penerbitan Hakikat di Aras 5 untuk menerima buku Islam secara percuma. – KOSMO! ONLINE