PETALING JAYA – Pelantikan Mufti Wilayah Persekutuan baharu dibuat ketika umat Islam amat memerlukan suara yang berani dan istiqamah dalam memperjuangkan kebenaran serta menolak kebatilan.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dengan latar belakang keilmuan dan ketegasan prinsip yang dimiliki oleh Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil diharap mampu menggalas amanah dengan penuh hikmah dan keberanian.
“Amanah berharap Sahibus Samahah akan sentiasa mendukung usaha mengembalikan Islam sepertimana ajaran Nabi Muhammad SAW, agama yang membawa rahmat kepada semua.
“Kami juga percaya bahawa institusi mufti harus menjadi penggerak utama dalam membela golongan mustada‘afin yang tertindas serta tegas menentang golongan mustakbirin yang angkuh dan menzalimi di seluruh muka bumi ini, selaras dengan tuntutan Islam yang sebenar,” katanya di Facebook rasminya hari ini.
Mohamad turut mengucapkan ucapan tahniah kepada Ahmad Fauwaz atas pelantikan tersebut dan mendoakan agar urusan Sahibus Samahah dalam memikul tanggungjawab besar ini sentiasa dipermudahkan oleh Allah SWT.
Ahmad Fauwaz Fadzil dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu berkuat kuasa pada 23 Mei lalu.
Pelantikan itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menerusi satu hantaran rasmi di media sosial hari ini. -KOSMO! ONLINE.