fbpx

Mesyuarat KPM-Pendidkan Negeri platform terbaik terjemah kebersamaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina ketika mesyuarat bersama Exco Pendidikan Negeri, semalam.

PETALING JAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Exco Pendidikan Negeri adalah platform terbaik untuk menterjemahkan kebersamaan dan komitmen semua pihak untuk membangunkan pendidikan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia adalah peluang untuk menyampaikan perkembangan terkini pendidikan negara, membincangkan isu-isu berbangkit di peringkat negeri dan mencari jalan penyelesaian.

“Saya mulakan mesyuarat yang berlangsung semalam dengan berkongsi mengenai keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

“Program-program intervensi yang dilaksanakan di peringkat negeri ternyata telah membuahkan hasil. Syabas semua,” tulisnya di hantaran Facebook, hari ini.

Jelas Fadhlina, keciciran SPM turut berjaya ditangani dengan baik. Kadar keciciran pada tahun 2024 adalah jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Semoga usaha yang baik di semua peringkat dapat diteruskan sekali gus menoktahkan keciciran.

“Pada waktu ini, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang berusaha melanjutkan dasar pendidikan wajib ke peringkat menengah. Saya mohon sokongan semua rakan-rakan Exco dan pimpinan negeri bagi memastikan hasrat ini tercapai.

“Antara tumpuan utama KPM pada tahun ini adalah untuk membangunkan pelan pendidikan baharu (2026-2035), Kurikulum Persekolahan 2027 dan agenda Reformasi Sekolah.

“Saya turut mengambil maklum semua pandangan dan sumbang saran yang diberi sewaktu mesyuarat. Apa saja usaha untuk kebaikan sektor pendidikan perlu disambut baik.

Semoga hubungan antara KPM dan kerajaan negeri akan terus diperkukuhkan bagi meningkatkan kecemerlangan kualiti pendidikan negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI