ALOR SETAR – Seorang lelaki etnik Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merasuah seorang anggota polis, kelmarin.
Tertuduh, Hamid Husson Abul Husson, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini selepas pertuduhan tersebut dibacakan dalam bahasa Rohingya.
Menurut pertuduhan, Hamid Husson didakwa merasuah seorang anggota polis berpangkat Koperal sebanyak RM150 supaya tidak mengambil tindakan ke atas dirinya yang menunggang motosikal tanpa lesen selain kenderaan berkenaan tanpa insurans.
Hamid Husson yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 4.45 petang di Jalan Kampung Kubang Menerong, Padang Sera, Kodiang dalam daerah Kubang Pasu pada 25 Mei lepas.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.
Hakim kemudian menetapkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan sehingga kes disebut semula pada 25 Jun depan. – KOSMO! ONLINE