ROMPIN – Kata-kata jemaah haji Malaysia Mohamad Noor Mustafar, 64, yang mahu meninggal dunia di Mekah bagaikan satu doa dan menjadi kenyataan apabila dia meninggal dunia di Mekah semalam.
Allahyarham yang menunaikan haji bersama isterinya Azizah Mat Yasim,58 meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika berada di bilik hotelnya kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.
Anak sulung Allahyarham, Norasikin Mohamad Noor,36, berkata, mereka yang mendapat tahu berita itu petang semalam amat terkejut kerana tidak menyangka bapanya yang berada dalam keadaan sihat akan pergi buat selama-lamanya ketika menunaikan haji.
Katanya, mereka juga tidak menyangka kata-kata seloroh allahyarham yang menyatakan mahu meninggal dunia di Mekah kini menjadi kenyataan.
“Kami tiga beradik reda kerana ayah meninggal duniua di tempat yang baik dan dia pun hendak meninggal dunia disitu.
“Dua hari sebelum pergi seorang anak saudaranya ada bertanya persiapan dan dia (allahyarham) berkata sudah siap belaka kemas barang seronok hendak ke sana dan kalau boleh hendak meninggal dunia di sana,”katanya ketika kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Mohd Fadzli Mohd Ramli di rumahnya di Kampung Sungai Puteri di sini hari ini.
Allahyarham yang meninggal dunia di Rehab Al-Janadiriyyah Mekah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al Sharayea di Mekah pada pukul 5.20 pagi tadi.
Menurut Norasikin sebelum pergi menunaikan haji pada 3 Mei lalu, kesihatan bapanya adalah baik berdasarkan pemeriksaan kesihatan malah allahyarham juga tiada rekod serangan jantung atau pun kencing manis.
Bagaimanapun katanya, ibunya yang mengalami sakit kaki pada mulanya mem allujuk ahyarham menangguh untuk pergi menunaikan haji pada masa akan datang kerana dia tidak berapa sihat.
“Masa dapat tawaran haji memang abah teruja dan tidak sabar menunaikan haji, abah pujuk emak dan abah janji jaga emak, dan emak jangan risau namun kini abah yang pergi dahulu,”katanya
Dalam pada itu anak kedua Allahyarham, Nor Erna Izzati,31, berkata, kali terakhir dia bercakap dengan bapanya ialah Khamis lalu selepas berkali-kali panggilan telefon tidak jawab bapanya.
Nor Erna Izzati berkata, bapanya itu juga sempat berseloroh mengatakan dia seronok berada di Mekah dan hendak menjadi orang Arab.
“Masa kami menghantarnya pergi dia ada tinggalkan duit Arab kepada cucu saudara dan dia pesan jaga cucu dan jaga diri sebelum berjalan terus untuk ke penerbangan,”katanya.
Sementara itu, Mohd Fadzli berkata, dia yang mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga dan menghulurkan sedikit sumbangan kepada tiga anak perempuan allahyarham.
Katanya, segala urusan allahyarham dilakukan oleh Tabung Haji dan pihaknya sentiasa bersedia membantu keluarga allahyarham atas segala urusan yang diperlukan dari semasa ke semasa.- KOSMO! ONLINE